7. Mengulang-ulang doa dengan penuh kerendahan hati dan merayu kepada Allah
Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan doa Rasulullah ﷺ untuk para sahabatnya dalam Perang Badar. Baginda ﷺ berdoa:
“Ya Allah, tunaikanlah janji-Mu kepadaku. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan. Ya Allah, sekiranya Engkau membinasakan golongan kecil daripada umat Islam ini, nescaya Engkau tidak lagi disembah di muka bumi.”
Baginda ﷺ terus-menerus berdoa sehingga selendangnya terjatuh dari bahu Baginda. Lalu Abu Bakar r.a. yang berada di sisi Baginda berkata, “Cukuplah, Ya Rasulullah.” (Riwayat Muslim: 1763)
Abu Hurairah r.a. pula meriwayatkan doa Rasulullah ﷺ untuk Bani Daus. Baginda ﷺ bersabda:
“Ya Allah, berilah hidayah kepada Bani Daus dan datangkanlah mereka kepadaku. Ya Allah, berilah hidayah kepada Bani Daus dan datangkanlah mereka kepadaku.” (Riwayat al-Bukhari: 2937; Muslim: 2524)